Madu begitu sinonim dalam kehidupan masyarakat Melayu. Kebiasaannya, masyarakat Melayu mempercayai bahawa madu adalah penyembuh bagi pelbagai jenis penyakit, terutamanya yang berkaitan dengan masalah kelamin atau seksual.
Kepopularan madu ini juga berkait rapat dengan saranan di dalam agama Islam itu sendiri.
Al-Quran menggariskan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada pelbagai penyakit, mahupun kesihatan tubuh badan dan rohani agar dapat mengerjakan segala perintah Allah s.w.t. dengan teratur.
Firman Allah dalam surah an-Nahl: 69 yang bermaksud: Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Dari perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.
Rasulullah s.a.w. juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Quran. Baginda bersabda: Ambillah atau pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa madu mempunyai keistimewaan tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan.
Di samping itu, madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh dan cepat memberi tenaga.
Mashi ramai yang tidak menyedari khasiat madu lebah dan kepelbagaian kegunaannya dalam kehidupan seharian manusia.
Tidak kurang juga yang menganggap fungsi madu lebah hanya satu iaitu enak sekiranya dimakan bersama-sama dengan roti, manisan ataupun dicampur ke dalam minuman.
Sekiranya diimbas kembali sejarah silam dan asal-usul madu lebah, ia telah dikenali sejak dari zaman Firaun yang memerintah Mesir 300 tahun sebelum Masihi.
Kemasyhuran khasiat madu lebah turut tersebar luas sehinggalah ke zaman tamadun Parsi, Greek dan juga Rom.
Malah sejarah Islam sendiri ada menceritakan kegunaan madu lebah di dalam perubatan amatlah masyhur dan ini bertepatan dengan firman Allah subhanahu wa taala di dalam ayat 68 hingga 69 surah an-Nahl bahawa madu itu adalah syifa' (penawar) kepada manusia.
Selain negara-negara Asia Barat, di Eropah juga terdapat sebuah kesatuan diberi nama Apitherapy yang diasaskan oleh Profesor Bernard Descottes iaitu seorang berbangsa Perancis yang menggunakan produk madu lebah sebagai satu teknik penjagaan kesihatan.
Bagi penduduk di Asia Barat iaitu masyarakat Arab sememangnya mereka tidak dapat dipisahkan dengan pengambilan madu lebah sebagai minuman kesihatan harian.
Di kalangan masyarakat Cina pula amalan memberi madu lebah kepada anak-anak mereka sejak dari kecil lagi telah lama dipraktikkan.
Namun begitu, ledakan pembangunan dan perkembangan pesat sains dan teknologi telah menimbulkan pelbagai kesangsian terhadap keaslian produk madu yang ada di pasaran.
Kini timbul pula masalah bagaimana hendak mencari madu yang benar-benar tulen, mentah dan bebas daripada campuran bahan-bahan lain.