I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, February 3, 2009

Patutkah ISA dikekalkan?

Akta Keselamatan Dalam Negeri mesti dikekalkan

Dalam kupasan media dan komentar umum mutakhir ini banyak kecenderungan untuk meminta pihak berkuasa memansuhkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas alasan sama ada telah usang, ketinggalan zaman, tidak berperi kemanusiaan, melanggar hak asasi, bercorak kuku besi dan pelbagai label yang menggambarkan rasa kurang senang mengenai akta tersebut.
Apakah semua yang diperkatakan itu benar, difahami atau disedari oleh pihak terlibat ataupun ia hanya semata-mata menjadi umpan peribadi atas kepentingan politik dan keterlibatan pihak berkaitan dalam elemen-elemen yang membolehkan mereka itu dikenakan tindakan melalui ISA.
Inilah yang sebenarnya yang perlu kita perhalusi supaya sebagai rakyat Malaysia yang sudah pun mengalami saat aman dan makmur selama lebih lima dekad tidak terperangkap dengan tuntutan demokrasi tanpa sempadan yang sedang mengugat negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) sekarang.
Oleh itu, untuk memberikan justifikasi akta berkenaan, kita perlu membuka mata dan minda melihat ISA ini secara yang jujur, ikhlas dan dengan fikiran terbuka.
Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu akta yang diwujudkan bagi tujuan pencegahan terhadap anasir anti nasional dan subversif. "Keselamatan Negara" dikatakan menjadi sekup utama untuk kewajaran undang-undang ini. Akta ini terletak di bawah bidang kuasa Perkara 149 Perlembagaan Malaysia 1957.
Penguatkuasaan akta ini diterjemahkan dalam Perkara 151 Perlembagaan Malaysia pada tahun 1960 dan ia bersifat proaktif dalam menangani masalah-masalah kompleks yang sukar ditangani melalui prosedur biasa dan memerlukan tindakan segera demi keselamatan awam dan kesejahteraan ramai.
Banyak negara maju termasuk AS dan Australia cuba mengadaptasi akta ini dalam sistem perundangan mereka walaupun pada masa yang sama mencemuh pelaksanaannya di Malaysia.
Sejarah akta ini mula diperkenalkan oleh British melalui Pesuruh Jaya Tingginya Sir Edward Gent pada tahun 1948 bagi mengekang pengaruh dan keganasan komunis di Malaya pada ketika itu. Oleh kerana keberkesanannya maka ia masih terus terpakai sehingga kini setelah melalui beberapa proses pengubahsuaian.
Dalam Perkara 149 Fasa (1) telah mentafsir bahawa perbuatan subversif itu adalah satu tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, atau menimbulkan ancaman oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan, untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu atau untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan di dalam Persekutuan; atau untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya.
Dengan sedikit kupasan ringkas mengenai akta tersebut, kita melihat bahawa Malaysia telah mendapat terlalu banyak manfaat dalam mewujudkan situasi yang stabil, menyediakan platform bagi pembangunan pesatnya selama lebih lima dekad tanpa sebarang halangan.
Banyak perkara yang sukar untuk dibanteras sekiranya akta ini tidak wujud. Kerana jenayah terancang, ancaman keselamatan dan anasir subversif selalunya wujud secara sistematik dan tidak mudah untuk menanganinya sebagaimana kita menangani jenayah biasa.
Mungkin apa yang sedang ditonjolkan pada hari ini adalah kekhuatiran umum terhadap penyalahgunaan akta berkenaan oleh pihak berkuasa dengan berlakunya penahanan-penahanan atas alasanalasan yang tidak relevan. Bagaimanapun, ia bukanlah satu alasan yang kukuh supaya ISA mesti dimansuhkan. Kerana ia adalah kubu atau benteng terakhir bagi menyelamatkan negara daripada tercebur ke kancah kemusnahan.
Perbuatan memansuhkan akta berkenaan adalah umpama membakar kelambu akibat perbuatan seekor nyamuk. Walhal, masalah utama adalah bukan mengenai akta itu sendiri tetapi bagaimana ia dikuatkuasakan. Itulah yang patut menjadi asas bagi memperbaiki keadaan dan bukan sebaliknya.
Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan tidak melanggar sebarang undang-undang dan peraturan, kita tidak sepatutnya tertekan atau terlebih takut dengan khabar angin, momokan atau dakyah golongan yang mempunyai agenda peribadi sehingga sanggup menggadai kepentingan negara bagi mencapai cita-cita.
Mari kita kembalikan fokus dan neraca pertimbangan akal kita kepada perkara yang lebih utama supaya kita tidak tersalah arah. Bak kata pepatah, terlajak perahu bolah di undur, tarlajak perbuatan, badan binasa.

No comments:

Post a Comment